Tuesday, March 4, 2008

Ado Cerito Sikit Di Kuala Pilah

Di Kuala Pilah, adalah menjadi lumrah kebanyakan di antara kita tidak dipanggil dengan nama kita yang sebenarnya. Gelaran dan nama timangan semenjak kecil sudah lekat dan menjadi sebati sehinggalah kita mati. Ada kalanya gelaran ini tiada langsung kaitannya dengan nama kita seperti seseorang yang saya kenali bernama Suri tetapi lebih dikenali dengan nama 34 (bukan tiga-puloh-empat tetapi ”three-four”). Nama-nama seperti along, angah, alang, atih, acik, dan abong adalah biasa (common), sehinggakan menjadi sukar untuk membezakan siapa di antara mereka yang kita bicarakan. Maka timbullah nama tambahan (seringkali melambangkan kampung asal mereka seperti nama-nama bangsawan perancis) kepada nama-nama ini seperti Alang Rock Gentam dan Aboi Parit.

Di sini ingin saya bercerita tentang se-seorang bernama Angah. Memang terlalu ramai orang bernama angah, atau umumnya disebut ”ongah” di Kuala Pilah ini. Di antara mereka yang sangat dikenali dan dihormati adalah Kak Ngah (Tan Sri Napsiah Omar), Ongah Md Zin (Pengerusi JKKK Kg Beting) dan Ongah Akob. Mungkin ado ramai lagi

Tetapi angah yang saya ingin ceritakan ini bukanlah seorang yang terkenal kerana jasa-jasa terhadap masyarakat di sekeliling beliau. Angah yang ingin saya ceritakan ini adalah seorang yang ”tak tau dibuek elok orang” (ungrateful lot). Tabiat buruknya yang tidak berubah-ubah, walaupun ramai di kalangan masyarakat telah membantu, menunjukkan seolah-olah tuhan telah mengurniakannya dengan kecacatan (handicap) yang sedemikan rupa sejak azali lagi.

Suatu ketika dahulu, saya kerap membantu abang saudara di dalam urusan di pejabat beliau. Apabila tiba waktu makan tengahari, Angah sering mengunjungi pejabatnya. Apa guna mengunjungi pejabat orang pada watu makan tengahari? Sudah tentu tiada urusan yang dapat dilaksanakan kerana semua pekerja sudah keluar untuk makan. Kegiatan beliau ini berulang hampir setiap hari. Pernah saya menyuruh beliau datang lebih awal atau berjumpa sahaja dengan sesiapa yang berkenaan di tapak kerja (site). Setelah lebih seminggu berlalu, saya utarakan perkara ini kepada pekerja-pekarja di pejabat itu. Rupa-rupanya, beliau sengaja datang pada waktu makan tengah dengan harapan untuk meminjam (meminjam tetapi tanpa memberitahu atau memberitahu setelah mengambil atau setelah orang lain bertanya) atau lebih jelas ”mengambil” perkakas dan peralatan kerja-kerja pembinaan. Tabiat ini menjadi-jadi kerana tiada lagi kontraktor di Kuala Pilah yang sudi meminjamkan peralatan kepada beliau kerana peralatan yang dipinjamkan seringkali dipulangkan dengan keadaan rosak yang teruk (tanpa dibaiki) dan ada kalanya tidak dipulangkan langsung. Di antara barang-barang dari pejabat tersebut yang telah beliau jahanamkan adalah pump air yang baru dimiliki.

Bukan setakat itu cerita tentang angah ini, namun beliau tidak serik-serik juga. Ada juga cerita tentang permasalahan kewangannya sehinggakan rumah beliau telah diselamatkan dari meja lelongan oleh kontraktor lain. Saya juga ada terdengar cakap-cakap tentang pembelian minyak kenderaan/jentera dengan jumlah terkumpul sehingga beribu-ribu ringgit yang masih tidak terjelas dan seterusnya menjejaskan pengusaha stesen minyak tersebut. Tiada sesiapa yang mengambil tindakan terhadap beliau. Seolah-olah masyarakat di Kuala Pilah telah mengampunkan dosa-dosa beliau. Namun beliau masih tidak sedar-sedar betapa orang-orang melayu di Kuala Pilah begitu baik terhadap beliau.

Kini, sambil mengikuti rombongan calon BN (di peringkat lain) dalam aktiviti berkempen, beliau begitu aktif membuat tohamahan tentang orang lain (calon BN) sedangkan beliau sendiri begitu penuh dengan keburukan. Adakah beliau ingin mati dalam keadaan sedemikian? Sudahlah. Sedarlah. Perbaiki diri anda sebelum anda membuat tohmahan terhadap orang lain.

Saya sudah jelak dengan kehadiran anda di Kuala Pilah ini. Apa tidaknya. Setiap kali saya bertemu anda (selalunya secara tidak sengaja), tiada yang elok keluar dari mulut anda yang sampai ke telinga saya. Adakah anda begitu sempurna? Mengkritik adalah untuk menjadikan sesuatu itu lebih baik. Manakala anda hanya ingin membuat tohmahan semata-mata untuk menjatuhkan seseorang yang tidak memberi manfaat kepada diri anda. Tetapi anehnya anda pernah mengaku bersaudara dengan orang yang anda tohmahkan.

Saya tidak sampai hati untuk mencerca anda di khalayak ramai kerana mengenangkan keakraban kedua-dua orang tua anda dengan ibu dan ayah saya dan juga saudara mara anda yang lain. Tetapi saya tidak lagi boleh berdiam diri kerana perangai anda sudah melampau batas.

Sunday, March 2, 2008

Gunting Dalam Lipatan

Rata-rata, di dalam aktiviti berkempen, sama ada melalui ceramah mahupun melalui penulisan blog, adalah menjadi agenda penyokong-penyokong kerajaan, sama ada calon itu sendiri, penceramah jemputan ataupun penulis blog, mengutarakan isu berkaitain dengan kemajuan dan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN. Bila diamati, ini adalah satu strategi yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Ia mudah di garap oleh masyarakat dan kesahihannya juga amat jelas dan jarang dipertikaikan.

Jika ada pihak yang mempertikaikannya, sepatutnya mereka adalah dari pembangkang atau mereka yang tidak senang dengan kerajaan BN. Namun, mereka juga tidak sewenang-wenang menyangkal isu begini. Jika mereka mempertikaikannya, bukanlah kerana kemajuan atau pembangunan itu sendiri. Apa yang sering mereka utarakan adalah isu-isu di sebalik tabir berkaitan dengan kemajuan/pembangunan yang dianjurkan oleh kerajaan BN, yang pada pandangan mereka harus diketahui oleh rakyat jelata. Apapun cerita sebalik tabir ini, sama ada rasuah atau nepotism yang mungkin ada sedikit kebenarannya, namun mereka tetap tidak menidakkan kebaikan yang dibawa melalui kemajuan dan pembangunan ini. Jika mereka memerintahpun, nepotism tetap akan berlaku, begitu juga rasuah.

Bacalah tulisan-tulisan mereka melalui blog atau risalah yang diedarkan. Adakah mereka mengatakan pembinaan KLIA itu tidak memberi manfaat? Mereka pernah mengatakan bahawa pembinaaa Putrajaya adalah satu pembaziran tetapi adakah mereka menyangkal kebaikan yang terwujud akibat pembangunan Putrajaya itu. Apa yang kita lihat di sini hanyalah kritikan terhadap ”means” di dalam pencapaian matlamat. Mereka tidak membantah matlamat yang dicapai. Ini amat jelas sekali. Kalau ada isu-isu lain, ia amatlah remeh sekali. Saya akan bicarakannya dalam rencana akan datang.

Jika pembangkang begitu kritis terhadap kerja baik yang dilakukan oleh kerhajaan BN, ia adalah satu elemen yang boleh diterima kerana mereka adalah PEMBANGKANG. Tetapi apa yang menyedihkan adalah terdapatnya ”penyokong-penyokong” kerajaan BN (saya membuat andaian bahawa jika seseorang itu adalah ahli parti komponen yang memerintah dan memegang jawatan dalam parti, ia dikira penyokong kerajaan) yang secara terang-terang menidakkan kemajuan yang dilaksanakan oleh BN melalui wakil-wakil rakyat yang terpilih.

Yang peliknya, tohmahan yang mereka lemparkan terhadap calon-calon tertentu bukan hanya timbul semasa pilihanraya ini, malah telah bermula semenjak HARI PERTAMA calon tersebut memikul jawatan wakil rakyat pada penggal yang lepas. Sebagai ahli parti komponen yang berkaliber (kononnya), apakah faedah yang beliau perolehi apabila membuat tohmahan seperti ”YB tu tak pornah buek apo-apo”, ”YB tu tak guno”, ”Kalau tak disobabkan den, masalah tu tak selosai. Den lah yang menyolosaikannyo”

Kenapa anda tidak menjadi wakil rakyat jika anda boleh lakukan itu semua?

Dalam tempoh yang sudah agak lama, siapakah di antara wakil rakyat di kawasan Kuala Pilah yang telah berjaya mendapat perhatian Pak Lah dan telah membuatkan Pak Lah mengunjungi kawasan beliau sebanyak dua kali dalam sehari. Bukankah itu menunjukkan beliau telah membuat kerja. Masalah air yang telah begitu lama menghantui kawasan beliau (bahagian pendalaman) telah beliau diselesaikan dengan begitu baik sekali. Masalah pengambil-alihan tanah di dalam projek peningkatan/pembaikan jalanraya yang telah lama tergendala, semenjak sebelum beliau menjadi wakil rakyat lagi, telah beliau seselaikan dengan cepat dan saksama. Malah beliau telah begitu banyak meyelesaikan masalah yang DITINGGALKAN oleh wakil rakyat terdahulu. Andakah ini yang anda katakan bahawa beliau tidak buek apo-apo.

Yang jelas adalah anda tidak puas hati dengan apa yang telah dilaksanakan oleh wakil rakyat tersebut. Anda hanya tahu mencemuh sedangkan anda sendiri tidak membawa manfaat kepada parti anda. Ingin saya cadangkan agar anda disingkirkan oleh parti untuk selama-lamanya. Masyarakat melayu, terutama sekali di Kuala Pilah tidak perlukan orang seperti anda.

Friday, February 29, 2008

Kadangkala Sesuatu Itu Berlaku

Saya telah menukar nama blog ini supaya ia tidak membawa sebarang "innuendo" atau salah tanggapan terhadap isu yang diutarakan. Apapun tajuk yang terpapar, hasrat untuk menganalisa situasi sosio-politik di Kuala Pilah masih menjadi agenda utama kehadiran blog ini.

Kepada Bob, Azmi dan semua rakan-rakan yang mendorong serta menyokong penulisan saya di blog ini, sokongan anda amatlah saya hargai.

Pada hari ini saya tidak dapat mencoretkan kisah-kisah yang berlaku di Kuala Pilah kerana saya juga terlibat (hanya memainkan peranan kecil) dalam proses kempen pilihanraya di Kuala Pilah.

Satu perkara yang paling menarik pada hari ini dan membuat saya amat gembira adalah - saya telah bertemu, secara tidak sengaja semasa campaign trail, dengan seorang guru yang mengajar saya lebih dua dekad dahulu di sebuah bilik gerakan, yang didirikan di atas tanah tapak rumah beliau. Sungguh pun pelajar-pelajar beliau telah banyak berubah, namun beliau masih kelihatan seperti yang saya ingati lebih 25tahun dahulu. Ustazah Kamariah, meeting you today had just made my day.

Thursday, February 28, 2008

Sambungan Kisah Dewan Kg Jawa

Lewat malam semalam, sambil minum teh di warung berdekatan Taman Waja, di persekitaran Kg Jawa, saya sempat berbual dengan seseorang tentang aktiviti Bilik Gerakan Barisan Nasional dan juga Bilik Gerakan Parti Keadilan yang terletak tidak jauh antara satu sama lain. Entah macam mana, isu Dewan Kg Jawa timbul dalam perbualan kami.

Dengan beria-ia pemuda tersebut mengesahkan bahawa beliau adalah di antara ramai pemuda dan remaja lain yang telah bermain futsal di dalam dewan tersebut dan menyebabkan kerosakan yang teramat teruk kepada bahagian dalam dewan, terutama sekali bahagian siling, pada hari permainan tersebut.

Jadi, memang benarlah apa yang saya telah dengar selama ini.

Beberapa tahun yang lalu, ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa atas desakan Wakil Rakyat DUN Pilah, Pengerusi JKKK Kg Jawa TERPAKSA membenarkan satu permainan/perlawanan/pertandingan futsal diadakan dalam dewan tersebut. Umum memang tahu bahawa Penerusi JKKK tidak sehaluan dengan Wakil Rakyat tersebut namun beliau akur atas sebab-sebab yang saya belum pasti (saya akan cuba bongkar).

Apa yang menyedihkan, sebagai seorang Wakil Rakyat, tidakkah anda terfikir bahawa sebuah dewan seperti itu BUKANnya tempat untuk bermain futsal. Futsal bukannya seperti bola jaring. Di manakah letaknya kewarasan fikiran & rasional anda? Perhaps, you only know how to play netball. Apakah akan terjadi kepada rakyat jika masih lagi terdapat wakil rakyat sebegini?

Semenjak dari peristiwa itu, setiap kali diajukan kepada pejabat wakil rakyat untuk membaik pulih dewan tersebut, jawapan yang sering diterima adalah ”Tiada Peruntukan”. Yang peliknya, selama empat tahun, tidak mungkin tiada peruntukan dapat disediakan. Jika peruntukan sebanyak RM15,000 dikumpulkan setiap tahun, sudah pasti akan terkumpul RM60,000 selepas empat tahun. Adakah pejabat wakil rakyat telah benar-benar mengajukan perkara tersebut kepada pihak atasan atau sengaja ingin menutup pekung di dada.

Ekoran daripada peristiwa itu dan mungkin juga pelbagai peristiwa lain (yang belum dapat saya bongkar), Pengerusi JKKK telah meletakkan jawatan. Walaupun beliau bukan manusia sempurna, namun pada pemerhatian saya beliau telah menjalankan tugas sebagai Pengerusi JKKK dengan baik. Jika tidak, sudah pasti beliau tidak memegang dua jawatan penting lain di Kg Jawa; iaitu Pengerusi Jawatankuasa Madrasah Tunku Mukhriz Kg Jawa dan juga Ketua Cawangan UMNO Kg Jawa. Syabas!

Gambar-gambar Kerosakan Dewan Kg Jawa



















Wednesday, February 27, 2008

Kisah Dewan Orang Ramai Kg Jawa




Pada Pilihan Raya Umum tahun 2004, seperti pilihanraya sebelumnya, Dewan Orang Ramai Kampung Jawa telah diwartakan menjadi salah satu pusat pembuangan undi dalam DUN Pilah. Handbill yang diedarkan kepada pengundi juga telah mengesahkan dewan tersebut sebagai pusat pembuangan undi. Malahan, sejak Dewan tersebut didirikan lagi ia telah menjadi pusat pembuangan undi. Kewujudan Dewan tersebut sangat membanggakan penduduk Kampung Jawa kerana bertuah mendapat sebuah Dewan yang besar berbanding kampung-kampung yang lain di Daerah Kuala Pilah. Penduduk Kampung Jawa sangat berbesar hati di atas usaha dan jasa Yang Berbahagia Tan Sri Napsiah yang menyumbang ke arah terdirinya Dewan tersebut.

Anehnya, pada hari Pilihanraya Umum 2004, ketika membawa kedua-dua orang tua saya untuk pergi mengundi di Dewan tersebut saya terbaca notis di pintu pagar Dewan yang menyatakan tempat mengundi telah berpindah ke tempat lain padahal jentera pilihanraya Barisan Nasional/UMNO telahpun mengesahkan bahwa Dewan tersebut adalah tempat pembuangan undi yang telah ditetapkan. Ini telah menimbulkan pelbagai tanda-tanya – mengapakah pemindahan dilakukan pada saat akhir, justeru mengakibatkan kekeliruan di kalangan ramai pengundi pada hari tersebut.

Namun, ini bukanlah isu yang hendak saya bangkitkan. Dari penyelidikan yang saya lakukan, didapati, Dewan tersebut tidak “fit” (selamat/selesa/sesuai) untuk dijadikan pusat pembuangan undi kerana terlalu bannyak kerosakan yang telah menimpa Dewan tersebut. Kerosakan utama ialah “keruntuhan” siling yang berlaku di dua bahagian. Pada pengamatan saya, keruntuhan ini hanya boleh diakibatkan oleh satu gempa bumi yang kuat atau kerana penggunaan bahan binaan yang amat “inferior”. Apapun, persoalannya, mengapa bolah terjadi kerosakan yang begitu teruk sekali? Anda boleh amati sendiri keadaan Dewan tersebut dari gambar-gambar terbaru yang saya sertakan.

Saya bukanlah hendak mencari salah “sesiapa” sehingga terjadi kerosakan yang begitu teruk tetapi mengapakah sehingga ke hari ini masih tiada kerja pembaikan yang dilakukan terhadap Dewan tersebut. Sudah beberapa kali perkara ini diutarakan kepada Pengerusi JKKK Kg Jawa namun jawapan yang sentiasa diberikan ialah tiada peruntukan. Pengerusi JKKK pun sudah bertukar ganti. Adakah Pengerusi JKKK sebelum ini tidak berusaha & mengambil tindakan sewajarnya? Adakah sejak tahun 2004 masih tiada peruntukan? Atau ada pihak-pihak yang sengaja menutup mata? Pilihanraya 2008 sudahpun hampir, bermakna sudah empat tahun tiada tindakan dilakukan oleh mana-mana pihak, terutama sekali ADUN Pilah

Saya juga amat kecewa dengan sikap ADUN Pilah, YB Dato’ Norhayati yang ambil tidak kisah tentang keadaan Dewan tersebut walaupun jarak kediaman beliau dari Dewan tidak sampaikan pun 1 batu dan beliau acapkali melihatnya keadaan Dewan tersebut apabila menghadiri aktiviti di Pusat Kegiatan Masyarakat Kuala Pilah yang terletak bersebelahan Dewan tersebut. Mengapakah beliau sengaja tidak berusaha untuk mendapatkan peruntukan sedangkan kerosakan sudah berlaku lebih 4 tahun dahulu dan saya difahamkan bahawa beliau “sangat arif” tentang apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Dewan tersebut.

Sungguh ironi sekali jika kita melihat situasi di mana kerajaan Barisan Nasional begitu bersungguh-sungguh untuk membangunkan sebuah universiti di negeri yang diperintah oleh parti pembangkang demi untuk menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang adil dan tidak mengira ideologi politik, sedangkan di Kuala Pilah, satu kawasan yang tidak pernah dipegang oleh parti pembangkang sejak kemerdekaan, begitu sukar untuk mendapatkan peruntukan untuk membaiki dewan yang rosak. Haruskah Kuala Pilah dipegang oleh pihak pembangkang untuk mendapat perhatian sewajarnya dari kerajaan Barisan Nasional? Dimanakah ketulusan kata-kata “kerajaan untuk rakyat” dan adakah “wakil rakyat berkhidmat untuk rakyat” itu cuma satu retorik sahaja?

Saya berharap bakal YB DUN Pilah yang terlantik nanti meninjau keadaan ini dan mengambil tindakan segera. Kerosakan Dewan ini mengakibatkan banyak aktiviti yang memberi manafaat kepada penduduk kampung tidak dapat dilakukan. Malah Mesyuarat UMNO Cawangan Kg Jawa yang diadakan pada 10 Jun 2007 , terpaksa diadakan di Madrasah Tunku Mukhriz Kg Jawa. Adakah itu wajar?

Jika kita lihat pada hari ini, Bilik Gerakan Peti Undi Kg Jawa terletak kurang daripada 100m dari Dewan tersebut. Andainya calon DUN Pilah datang melawat Bilik Gerakan tersebut sudah pasti akan terlihat keadaan dewan tersebut seperti yang saya telah saya paparkan. Apakah tindakan anda setelah terlantik nanti?

ADUN Digugurkan - Tindakan TEPAT

Tindakan Pengerusi BN Negeri menggugurkan kedua-dua bekas ADUN iaitu Norhayati (DUN Pilah) dan Ibrahim (DUN Seri Menanti) adalah sangat tepat dan merupakan satu amaran awal yang menyatakan ”Jika anda tidak melaksanakan tugas dengan cemerlang – out you go”.

Usia atau muka lama (veteran) bukan lah faktor penting tetapi kredibiliti, prestasi (performance) dan relevance adalah kayu pengukor yang akan menentukan kedudukan wakil rakyat masa kini.

Selama 2 penggal Norhayati menduduki kerusi DUN Pilah, tiada perkara ”significant” yang telah dianjurkan oleh beliau apatah lagi membangunkan sosio-ekonomi masyarakat DUN Pilah. Malah, pada penggal yang terakhir, beliau telah di lantik menjadi Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat, namun masih tiada yang significant yang telah beliau laksanakan di DUN Pilah.

Apa yang membingungkan, isu-isu mudah seperti pembaik-pulihan Dewan Orang Ramai Kg Jawa (bukan sekadar balairaya besar) pun tidak dapat beliau selesaikan.dalam tempoh 4 tahun setelah beliau dilantik semula menjadi ADUN Pilah. Setiap kali isu ini diutarakan, jawapan yang diberikan oleh pejabat beliau adalah ”Tiada peruntukan”. Setelah sudah lebih empat tahun dewan tersebut rosak, iaitu sebelum pilihanraya 2004 lagi, adakah hanya itu sahaja tindakan yang beliau mampu berikan? Jelas sekali beliau tidak menjalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat - membela nasib rakyat dan membawa pembangunan kepada rakyat.

Kampung ayah saya terletak kira-kira 1 km dari Seri Menanti. Pada waktu kecil dahulu, saya bersama saudara-mara sering berjalan kaki ke Seri Menanti untuk menyaksikan karnival sambutan Keputeraan DYMM Yang Di Pertuan Besar. Seri Menanti adalah Pekan Di Raja dan ia begitu dekat di hati saya. Seringkali kita lihat, bila sahaja Tourism Malaysia ataupun Kementerian Pelancongan Malaysia membuat promosi pelancongan, sama ada di dalam atau luar negara, mercu tanda Seri Menanti menjadi icon pelancongan negara. Setaip kali sahabat-sahabat dari luar Negeri Sembilan datang mengunjungi Kuala Pilah akan saya bawa bersiar ke Seri Menanti dan melihat mercu tanda ini. Mereka sangat kagum akan keindahan dan keunikannya yang begitu ”majestic”, dan majoriti tidak mengetahui bahawa ia terletak dalam Daerah Kuala Pilah. Apa yang saya maksudkan ialah Istana Lama Seri Menanti yang kini telah dijadikan Muzium DiRaja dan dibuka kepada orang ramai.

Apa yang hendak saya utarakan ialah, Seri Menanti mempunyai ciri-ciri tarikan pelancongan yang WORLD CLASS. Tetapi malangnya tiada usaha yang dilakukan untuk memertabatkan kewujudannya. Bukan sahaja Istana Lama tersebut, malah sejarah penempatan Seri Menanti sebagai pusat pemerintahan beraja dan juga Adat Perpatih itu sendiri, jika dimajukan adalah satu keunikan yang tiada tolok bandingnya di negara ini. Di sinilah wakil rakyat memainkan peranan yang sangat penting. Wakil rakyat harus melihat potensi ini dan membuat perancangan untuk memajukannya. Malangnya ini tidak berlaku. Program homestay di Seri Menanti telah lama mati (seolah-olah tidak pernah wujud), sedangkan ia merupakan satu daripada ”tools” untuk memajukan Seri Menanti sebagai destinasi pelancongan utama di Negeri Sembilan. Nampaknya pusat kebudayaan di Terachi juga mengalami nasib yang serupa.

Persoalannya, apakah yang telah dilakukan oleh wakil rakyat Seri Menanti? Adakah beliau terlalu sibuk sehinggakan tidak melihat semua ini? Atau beliau tidak berupaya melihat potensi Seri Menanti serta tidak berupaya membuat perancangan untuk kawasan Seri Menanti? Jika beginilah rupanya wakil rakyat yang dipilih, beliau seharusnya telah digugurkan empat tahun yang lalu. Masyarakat perlukan wakil rakyat yang berwawasan dan berupaya membuat perancangan serta membawa pembangunan sosio-ekonomi.

Wakil rakyat adalah penggerak masyarakat!

Kepada wakil rakyat Seri Menanti yang baru – marilah kita berbincang. Terlalu banyak yang boleh anda lakukan di kawasan DUN Seri Menanti yang akan memberi manfaat kepada SEMUA pihak.