Wednesday, February 27, 2008

Kisah Dewan Orang Ramai Kg Jawa




Pada Pilihan Raya Umum tahun 2004, seperti pilihanraya sebelumnya, Dewan Orang Ramai Kampung Jawa telah diwartakan menjadi salah satu pusat pembuangan undi dalam DUN Pilah. Handbill yang diedarkan kepada pengundi juga telah mengesahkan dewan tersebut sebagai pusat pembuangan undi. Malahan, sejak Dewan tersebut didirikan lagi ia telah menjadi pusat pembuangan undi. Kewujudan Dewan tersebut sangat membanggakan penduduk Kampung Jawa kerana bertuah mendapat sebuah Dewan yang besar berbanding kampung-kampung yang lain di Daerah Kuala Pilah. Penduduk Kampung Jawa sangat berbesar hati di atas usaha dan jasa Yang Berbahagia Tan Sri Napsiah yang menyumbang ke arah terdirinya Dewan tersebut.

Anehnya, pada hari Pilihanraya Umum 2004, ketika membawa kedua-dua orang tua saya untuk pergi mengundi di Dewan tersebut saya terbaca notis di pintu pagar Dewan yang menyatakan tempat mengundi telah berpindah ke tempat lain padahal jentera pilihanraya Barisan Nasional/UMNO telahpun mengesahkan bahwa Dewan tersebut adalah tempat pembuangan undi yang telah ditetapkan. Ini telah menimbulkan pelbagai tanda-tanya – mengapakah pemindahan dilakukan pada saat akhir, justeru mengakibatkan kekeliruan di kalangan ramai pengundi pada hari tersebut.

Namun, ini bukanlah isu yang hendak saya bangkitkan. Dari penyelidikan yang saya lakukan, didapati, Dewan tersebut tidak “fit” (selamat/selesa/sesuai) untuk dijadikan pusat pembuangan undi kerana terlalu bannyak kerosakan yang telah menimpa Dewan tersebut. Kerosakan utama ialah “keruntuhan” siling yang berlaku di dua bahagian. Pada pengamatan saya, keruntuhan ini hanya boleh diakibatkan oleh satu gempa bumi yang kuat atau kerana penggunaan bahan binaan yang amat “inferior”. Apapun, persoalannya, mengapa bolah terjadi kerosakan yang begitu teruk sekali? Anda boleh amati sendiri keadaan Dewan tersebut dari gambar-gambar terbaru yang saya sertakan.

Saya bukanlah hendak mencari salah “sesiapa” sehingga terjadi kerosakan yang begitu teruk tetapi mengapakah sehingga ke hari ini masih tiada kerja pembaikan yang dilakukan terhadap Dewan tersebut. Sudah beberapa kali perkara ini diutarakan kepada Pengerusi JKKK Kg Jawa namun jawapan yang sentiasa diberikan ialah tiada peruntukan. Pengerusi JKKK pun sudah bertukar ganti. Adakah Pengerusi JKKK sebelum ini tidak berusaha & mengambil tindakan sewajarnya? Adakah sejak tahun 2004 masih tiada peruntukan? Atau ada pihak-pihak yang sengaja menutup mata? Pilihanraya 2008 sudahpun hampir, bermakna sudah empat tahun tiada tindakan dilakukan oleh mana-mana pihak, terutama sekali ADUN Pilah

Saya juga amat kecewa dengan sikap ADUN Pilah, YB Dato’ Norhayati yang ambil tidak kisah tentang keadaan Dewan tersebut walaupun jarak kediaman beliau dari Dewan tidak sampaikan pun 1 batu dan beliau acapkali melihatnya keadaan Dewan tersebut apabila menghadiri aktiviti di Pusat Kegiatan Masyarakat Kuala Pilah yang terletak bersebelahan Dewan tersebut. Mengapakah beliau sengaja tidak berusaha untuk mendapatkan peruntukan sedangkan kerosakan sudah berlaku lebih 4 tahun dahulu dan saya difahamkan bahawa beliau “sangat arif” tentang apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Dewan tersebut.

Sungguh ironi sekali jika kita melihat situasi di mana kerajaan Barisan Nasional begitu bersungguh-sungguh untuk membangunkan sebuah universiti di negeri yang diperintah oleh parti pembangkang demi untuk menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang adil dan tidak mengira ideologi politik, sedangkan di Kuala Pilah, satu kawasan yang tidak pernah dipegang oleh parti pembangkang sejak kemerdekaan, begitu sukar untuk mendapatkan peruntukan untuk membaiki dewan yang rosak. Haruskah Kuala Pilah dipegang oleh pihak pembangkang untuk mendapat perhatian sewajarnya dari kerajaan Barisan Nasional? Dimanakah ketulusan kata-kata “kerajaan untuk rakyat” dan adakah “wakil rakyat berkhidmat untuk rakyat” itu cuma satu retorik sahaja?

Saya berharap bakal YB DUN Pilah yang terlantik nanti meninjau keadaan ini dan mengambil tindakan segera. Kerosakan Dewan ini mengakibatkan banyak aktiviti yang memberi manafaat kepada penduduk kampung tidak dapat dilakukan. Malah Mesyuarat UMNO Cawangan Kg Jawa yang diadakan pada 10 Jun 2007 , terpaksa diadakan di Madrasah Tunku Mukhriz Kg Jawa. Adakah itu wajar?

Jika kita lihat pada hari ini, Bilik Gerakan Peti Undi Kg Jawa terletak kurang daripada 100m dari Dewan tersebut. Andainya calon DUN Pilah datang melawat Bilik Gerakan tersebut sudah pasti akan terlihat keadaan dewan tersebut seperti yang saya telah saya paparkan. Apakah tindakan anda setelah terlantik nanti?

No comments: