Sunday, February 24, 2008

Kisah Silam

Saya sudah lama mengenali politik. Tetapi saya tidak menyedarinya sehinggalah pada suatu hari sewaktu saya balik dari sekolah pada awal dekad tahun 70an. Pada masa itu saya bersekolah rendah dan kami sekeluarga menetap di perumahan rumah rakyat pertama di Kuala Pilah. Pada masa itu ia lebih dikenali sebagai rumah murah. Di antara jiran-jiran kami pada masa itu adalah Tan Sri Nasimuddin (Pengerusi Kumpulan NAZA) bersama keluarga beliau (this is name-dropping). Saya hanya berjalan kaki pergi dan balik dari sekolah, bersama-sama rakan sebaya. Semasa menghampiri rumah kami, saya terlihat sebuah kereta Mercedes Benz terletak betul-betul di hadapan pintu pagar rumah kami. Pada masa itu tidak ramai orang yang saya kenali memiliki kereta, apatah lagi sebuah Mercedes Benz. Saya terlihat seorang lelaki yang tidak saya kenali mundar-mandir berdekatan kereta itu. Apabila saya menghampiri pintu pagar rumah, lelaki itu memandang ke arad saya dengan senyuman. Saya tidak sabar hendak memberitahu emak tentang kehadiran lelaki itu dan juga kereta Mercede Benz yang terletak di hadapan pintu pagar. Apabila saya berlari masuk sambil memanggil ibu, saya terlihat seorang wanita sedang berbual dengan ibu saya, dan beliau menoleh ke arah saya dan tersenyum. Saya amat terkejut, walaupun saya telah mengenali beliau kerana ibu saya sering bersama beliau dalam aktiviti-aktivi kaum wanita, tetapi itu adalah kali pertama beliau hadir di rumah kami. Wanita itu adalah Datin Halimah (this is not name-dropping), isteri kepada Menteri Besar Negari Sembilan pada masa itu, iaitu Dato’ Mansor.

Apa yang saya ketahui kemudian, Datin Halimah telah datang ke rumah kami dengan tergesa-gesa kerana hendak memujuk ibu saya agar tidak meletakkan jawatan sebagai setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah. Ibu saya sudah tekad dan tidak tahan lagi dengan kerenah orang politik di Kuala Pilah. Kehadiran Datin sudah terlambat dan beliau gagal memujuk ibu supaya menarik balik semula hasratnya. Pada saat itulah saya mengenali politik, walaupun ianya telah berakhir bagi ibu saya. Sejak dari itu, walaupun ibu tidak lagi bergiat aktif dalam politik, beliau tetap menyokong kuat pergerakan UMNO dan tidak pernah gagal menghadiri mesyuarat sehinggalah beliau menjadi uzor. Dato’ Mansor pun sudah tiada lagi tetapi saya tidak pasti tentang Datin Halimah.
Saya sentiasa terkenang peristiwa itu kerana dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku. Sejak muda lagi, sebelum berkahwin dengan ayah saya, ibu telah bergiat cergas dalam pelbagai aktiviti termasuk UMNO. Pada usia saya yang masih kecil, acapkali saya ditinggalkan bersama nenek kerana beliau terlalu aktif berpersatuan. Namun, kesabaran beliau ada hadnya. Bagi beliau, bergiat aktif dalam UMNO adalah kerana beliau anak Melayu yang patriotik dan tidak mengharapkan apa-apa pulangan. Namun, bila integriti tercabar, pengundurannya adalah pilihan terbaik, ”there are some wars not worth fighting for”

No comments: