Monday, February 25, 2008

Siapa Yang Harus Dikritik?

Mungkin ada pembaca blog ini yang ingin tahu mengapakah saya begitu tekun dan bersemangat mengkritik orang-orang Barisan Nasional, sama ada yang bakal bertanding dalam PRU12, mahupun yang telah dilepaskan.

Jawapannya mudah sahaja. Apa guna mengkritik pihak pembangkang? Kehadiran Parti Keadilan dalam senario politik negara sudah tidak relevant lagi. Manakala keadaan PAS pada masa ini pula boleh diibaratkan sebagai orang yang mabuk laut, terumbang ambing di lautan yang sedikit pun tidak bergelora (jika anda faham maksud saya). Jadi, apa perlunya saya mengkritik mereka jika semua orang boleh melihat sendiri tanpa perlu membuka mata. Seandainya PAS mahu orang lain membuka mata, mereka seharusnya melakukan sesuatu, tidak semestinya perkara yang hebat, tetapi sesuatu yang boleh meningkatkan semula kredibiliti mereka sebagai parti untuk ummah Islam. Jangan jadi macam Keadilan yang hanya mengharap undi simpati. Pas lebih ”credible” daripada itu.

Kita semua tahu Barisan Nasional (ataupun UMNO) akan berkuasa lagi dalam Daerah Kuala Pilah (begitu juga dalam negara ini) walaupun mereka harus bertanding dalam PRU12 ini. Apa yang ingin kita lihat adalah, berapakah majoriti kemenangan yang akan diperolehi oleh calon-calon BN. Kita juga ingin melihat tindakan-tindakan yang akan dilaksanakan oleh calon-calon BN bagi memastikan kemenangan mereka. Adakah mereka sekadar hangat-hangat tahi ayam? Hanya hebat semasa berkempen tetapi bila sudah peroleh kemengan, terus lenyap. Kita sudah masak dengan jawapan ”I will look into that matter”, mahupun “Tak ada peruntukan lah”.

Kredibiliti calon-calon yang dipilih oleh BN adalah sangat penting, bukan sekadar untuk memenangi hati rakyat semasa berkempen, malah lebih penting lagi adalah keupayaan untuk memberikan khidmat yang cemerlang kepada masyarakat dan negara.

Oleh yang demikian, kritikan yang diberikan bukan semata-mata untuh menjatuhkan maruah seseorang tetapi untuk menyedarkan, bukan sahaja yang bertanding, termasuk juga mereka yang bercita-cita untuk menjadi calon pada masa hadapan, bahawa begitu ramai yang memerhatikan mereka.

Menduduki kerusi DUN ataupun Parlimen adalah satu penghormatan yang diberikan oleh rakyat. Penghormatan ini bukan satu ”award” tetapi satu ”mandate” dan amanah rakyat. Oleh itu rakyat berhak berkata-kata sekiranya amanah yang diberikan telah diabaikan. Sebagai orang biasa (lay man), secara logiknya kita tidak akan menyerahkan amanah kepada se-seorang yang kita tahu adalah penipu, pembohong ataupun tidak jujur. Kita hanya akan memberikan amanah kepada orang yang kita fikirkan berupaya (credible) untuk melaksanakan amanah tersebut. Jadi, hak mengkritik kredibiliti calon adalah satu elemen yang seharusnya menjadi norma yang tidak patut dipandang serong.

Apapun, mengkritik harus ada batasan. Yang dikritik adalah kredibiliti dan prestasi, bukannya personaliti dan peribadi. Kesopanan tidak harus hilang walau seteruk mana kritikan yang dilemparkan. Kita orang Melayu; maki hamun bukan budaya kita.

No comments: