Monday, February 25, 2008

Kisah Di Sebalik Pemilihan Calon PRU12 di Kuala Pilah

Semasa menunggu pengisytiharan nama calon-calon yang akan bertanding pada PRU12 ini, saya sempat bertemu kawan-kawan dan saudara-mara yang hadir untuk memberikan sokongan kepada calon-calon walaupun mereka terpaksa berada di bawah terik mentari. Calon-calon BN yang bertanding harus sentiasa ingat akan penat-jerih penyokong-penyokong ini, tak kira bangsa, sama ada telah diberi imbuhan ataupun tidak, begitu tekun dan bersemangat memberikan sokongan. Tanpa mereka, calon-calon yang bertanding tidak akan termampu meraih kemenangan besar yang sangat diharapkan nanti. Ingat tu bakal-bakal YB semua!

Sambil berbual, sempat juga saya mendengar cerita-cerita sensasi tentang pemilihan calon-calon BN yang akan bertanding.dalam kawasan Kuala Pilah, sama ada di peringkat Parlimen ataupun DUN. Malah yang lebih sensasi adalah tentang mereka yang tidak terpilih.

Kabarnya, ada seorang “YB-wannabe” begitu kecewa apabila Pengerusi BN Negeri tidak menyenaraikan beliau sebagai calon yang akan bertanding. Kekecewaan beliau dikatakan begitu ketara sejak dari pengumuman itu. Beliau terus berduka dan bermasam muka selama beberapa hari. Kenapa harus jadi begitu? Adakah beliau menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk dicalonkan? Mungkinkah kerana sudah dua kali pilihanraya diadakan dan nama beliau telah diusulkan pada kedua-duanya namun masih tidak terpilih? Adakah ini telah menjatuhkan airmukanya sehinggakan hatinya terguris? Atau yang lebih penting, mungkinkah juga kerana beliau menyedari bahawa pada pemilihan UMNO yang akan datang beliau sudah pasti tidak akan dapat lagi memegang jawatan penting dalam parti seperti yang dipegangnya sekarang, maka akan tamatlah riwayat beliau dalam dunia politik?

Memegang jawatan tinggi dalam parti bukanlah tiket untuk mendapatkan pencalonan dalam pilihanraya. Beliau harus sedar bahawa kredibiliti dan “substance” adalah elemen-elemen penting yang, jika diamati, mungkin tiada langsung dalam diri beliau. Adakah beliau begitu angkuh dan enggan menerima hakikat ini? Ramai orang yang memegang jawatan dalam UMNO tidak mempunyai “substance” mahupun kredibiliti kerana orang yang menang dalam pemilihan UMNO tidak ubah seperti anak-anak muda yang menang dalam program realiti tv yang berlandaskan undian SMS. Ada yang benar-benar layak dan ramai juga yang tidak.

Pada awal zaman pasca kemerdekaan, adalah lumrah bagi orang yang memegang jawatan penting dalam parti untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Tetapi keadaan sekarang sudah berbeza. Calon-calon yang akan menduduki kerusi DUN ataupun Parlimen akan menghadapi cabaran yang amat hebat. Oleh itu, pemilihan calon haruslah berdasarkan merit. Empat dekad yang lalu, cabaran tidak sehebat kini dan pembangunan sosio-ekonomi tidak begitu “complicated” dan ini memungkinkan pemilihan calon dari golongan yang hanya tamat darjah enam. Sekiranya kriteria yang sama digunakan, sudah pasti calon yang terpilih tidak dapat menjalankan tugas dengan cemerlang ataupun hanya menjadi YB yang banyak cakap tetapi hasil tiada.

Secara mudahnya, mari kita lihat pertandingan ratu cantik, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Tiga atau empat dekad yang lalu, wanita yang memasuki pertandingan ratu cantik sering digelar bimbo atau beauty-without-brain. Memang ada kebenarannya. Tetapi keadaan sudah berubah. Untuk menang dalam pertandingan ratu cantik, Miss World ataupun Miss Universe pada masa ini peserta bukan sahaja harus mempunyai rupa-paras serta potongan badan yang cantik, malah harus mempunyai daya pemikiran yang begitu bernas, berwawasan dan berupaya membuktikannya, serta ada ”track-record”. Ini adalah kerana tugas yang menanti pemenang begitu mencabar. Bukan sekadar untuk melakukan ”appearance” (tunjuk muka) di majlis-majlis rasmi, malah terlibat dalam tugasan-tugasan berbentuk sosio-ekonomi. Maka tidak hairanlah mengapa sebahagain besar daripada peserta pertandingan ratu cantik antarabangsa pada masa ini adalah terdiri daripada golongan terpelajar. Hebat! Nak menang dalam pertandingan ratu cantik pun kena jadi orang terpelajar. Inikan pula nak jadi Ahli Dewan Undangan Negeri ataupun Ahli Parlimen, yang bakal menubuhkan kerajaan.

Justeru itu, ahli-ahli UMNO yang berhasrat untuk dipilih untuk menjadi calon dalam pilihanraya akan datang haruslah melihat dan mengguna-pakai analogi yang sangat mudah ini. Buatlah kajian mendalam tentang diri anda. Adakah anda mempunyai ”substance”? Adakah anda mempunyai ”track-record” cemerlang dalam kerjaya/perniagaan anda? Adakah anda mempunyai keperibadian (diri dan keluarga) yang akan dihormati oleh penyokong dan pengundi anda? Dan, adakah anda orang yang lebih layak berbanding dengan orang lain? Bak kato orang Kolo Pilah, suloh muko kek coromin tu dulu.

Terimalah hakikat ini dan tak usahlah berperangai kebudak-budakan. Grow-up! Anda menjadi ahli UMNO adalah untuk memperjuangkan nasib bangsa and negara. Bukannya sekadar hendak main masak-masak.

Kepada yang tak terpilih, hayatilah frasa ini - “Not everyone can be a leader; some are meant to be just followers”.

No comments: