Friday, February 29, 2008

Kadangkala Sesuatu Itu Berlaku

Saya telah menukar nama blog ini supaya ia tidak membawa sebarang "innuendo" atau salah tanggapan terhadap isu yang diutarakan. Apapun tajuk yang terpapar, hasrat untuk menganalisa situasi sosio-politik di Kuala Pilah masih menjadi agenda utama kehadiran blog ini.

Kepada Bob, Azmi dan semua rakan-rakan yang mendorong serta menyokong penulisan saya di blog ini, sokongan anda amatlah saya hargai.

Pada hari ini saya tidak dapat mencoretkan kisah-kisah yang berlaku di Kuala Pilah kerana saya juga terlibat (hanya memainkan peranan kecil) dalam proses kempen pilihanraya di Kuala Pilah.

Satu perkara yang paling menarik pada hari ini dan membuat saya amat gembira adalah - saya telah bertemu, secara tidak sengaja semasa campaign trail, dengan seorang guru yang mengajar saya lebih dua dekad dahulu di sebuah bilik gerakan, yang didirikan di atas tanah tapak rumah beliau. Sungguh pun pelajar-pelajar beliau telah banyak berubah, namun beliau masih kelihatan seperti yang saya ingati lebih 25tahun dahulu. Ustazah Kamariah, meeting you today had just made my day.

Thursday, February 28, 2008

Sambungan Kisah Dewan Kg Jawa

Lewat malam semalam, sambil minum teh di warung berdekatan Taman Waja, di persekitaran Kg Jawa, saya sempat berbual dengan seseorang tentang aktiviti Bilik Gerakan Barisan Nasional dan juga Bilik Gerakan Parti Keadilan yang terletak tidak jauh antara satu sama lain. Entah macam mana, isu Dewan Kg Jawa timbul dalam perbualan kami.

Dengan beria-ia pemuda tersebut mengesahkan bahawa beliau adalah di antara ramai pemuda dan remaja lain yang telah bermain futsal di dalam dewan tersebut dan menyebabkan kerosakan yang teramat teruk kepada bahagian dalam dewan, terutama sekali bahagian siling, pada hari permainan tersebut.

Jadi, memang benarlah apa yang saya telah dengar selama ini.

Beberapa tahun yang lalu, ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa atas desakan Wakil Rakyat DUN Pilah, Pengerusi JKKK Kg Jawa TERPAKSA membenarkan satu permainan/perlawanan/pertandingan futsal diadakan dalam dewan tersebut. Umum memang tahu bahawa Penerusi JKKK tidak sehaluan dengan Wakil Rakyat tersebut namun beliau akur atas sebab-sebab yang saya belum pasti (saya akan cuba bongkar).

Apa yang menyedihkan, sebagai seorang Wakil Rakyat, tidakkah anda terfikir bahawa sebuah dewan seperti itu BUKANnya tempat untuk bermain futsal. Futsal bukannya seperti bola jaring. Di manakah letaknya kewarasan fikiran & rasional anda? Perhaps, you only know how to play netball. Apakah akan terjadi kepada rakyat jika masih lagi terdapat wakil rakyat sebegini?

Semenjak dari peristiwa itu, setiap kali diajukan kepada pejabat wakil rakyat untuk membaik pulih dewan tersebut, jawapan yang sering diterima adalah ”Tiada Peruntukan”. Yang peliknya, selama empat tahun, tidak mungkin tiada peruntukan dapat disediakan. Jika peruntukan sebanyak RM15,000 dikumpulkan setiap tahun, sudah pasti akan terkumpul RM60,000 selepas empat tahun. Adakah pejabat wakil rakyat telah benar-benar mengajukan perkara tersebut kepada pihak atasan atau sengaja ingin menutup pekung di dada.

Ekoran daripada peristiwa itu dan mungkin juga pelbagai peristiwa lain (yang belum dapat saya bongkar), Pengerusi JKKK telah meletakkan jawatan. Walaupun beliau bukan manusia sempurna, namun pada pemerhatian saya beliau telah menjalankan tugas sebagai Pengerusi JKKK dengan baik. Jika tidak, sudah pasti beliau tidak memegang dua jawatan penting lain di Kg Jawa; iaitu Pengerusi Jawatankuasa Madrasah Tunku Mukhriz Kg Jawa dan juga Ketua Cawangan UMNO Kg Jawa. Syabas!

Gambar-gambar Kerosakan Dewan Kg Jawa



















Wednesday, February 27, 2008

Kisah Dewan Orang Ramai Kg Jawa




Pada Pilihan Raya Umum tahun 2004, seperti pilihanraya sebelumnya, Dewan Orang Ramai Kampung Jawa telah diwartakan menjadi salah satu pusat pembuangan undi dalam DUN Pilah. Handbill yang diedarkan kepada pengundi juga telah mengesahkan dewan tersebut sebagai pusat pembuangan undi. Malahan, sejak Dewan tersebut didirikan lagi ia telah menjadi pusat pembuangan undi. Kewujudan Dewan tersebut sangat membanggakan penduduk Kampung Jawa kerana bertuah mendapat sebuah Dewan yang besar berbanding kampung-kampung yang lain di Daerah Kuala Pilah. Penduduk Kampung Jawa sangat berbesar hati di atas usaha dan jasa Yang Berbahagia Tan Sri Napsiah yang menyumbang ke arah terdirinya Dewan tersebut.

Anehnya, pada hari Pilihanraya Umum 2004, ketika membawa kedua-dua orang tua saya untuk pergi mengundi di Dewan tersebut saya terbaca notis di pintu pagar Dewan yang menyatakan tempat mengundi telah berpindah ke tempat lain padahal jentera pilihanraya Barisan Nasional/UMNO telahpun mengesahkan bahwa Dewan tersebut adalah tempat pembuangan undi yang telah ditetapkan. Ini telah menimbulkan pelbagai tanda-tanya – mengapakah pemindahan dilakukan pada saat akhir, justeru mengakibatkan kekeliruan di kalangan ramai pengundi pada hari tersebut.

Namun, ini bukanlah isu yang hendak saya bangkitkan. Dari penyelidikan yang saya lakukan, didapati, Dewan tersebut tidak “fit” (selamat/selesa/sesuai) untuk dijadikan pusat pembuangan undi kerana terlalu bannyak kerosakan yang telah menimpa Dewan tersebut. Kerosakan utama ialah “keruntuhan” siling yang berlaku di dua bahagian. Pada pengamatan saya, keruntuhan ini hanya boleh diakibatkan oleh satu gempa bumi yang kuat atau kerana penggunaan bahan binaan yang amat “inferior”. Apapun, persoalannya, mengapa bolah terjadi kerosakan yang begitu teruk sekali? Anda boleh amati sendiri keadaan Dewan tersebut dari gambar-gambar terbaru yang saya sertakan.

Saya bukanlah hendak mencari salah “sesiapa” sehingga terjadi kerosakan yang begitu teruk tetapi mengapakah sehingga ke hari ini masih tiada kerja pembaikan yang dilakukan terhadap Dewan tersebut. Sudah beberapa kali perkara ini diutarakan kepada Pengerusi JKKK Kg Jawa namun jawapan yang sentiasa diberikan ialah tiada peruntukan. Pengerusi JKKK pun sudah bertukar ganti. Adakah Pengerusi JKKK sebelum ini tidak berusaha & mengambil tindakan sewajarnya? Adakah sejak tahun 2004 masih tiada peruntukan? Atau ada pihak-pihak yang sengaja menutup mata? Pilihanraya 2008 sudahpun hampir, bermakna sudah empat tahun tiada tindakan dilakukan oleh mana-mana pihak, terutama sekali ADUN Pilah

Saya juga amat kecewa dengan sikap ADUN Pilah, YB Dato’ Norhayati yang ambil tidak kisah tentang keadaan Dewan tersebut walaupun jarak kediaman beliau dari Dewan tidak sampaikan pun 1 batu dan beliau acapkali melihatnya keadaan Dewan tersebut apabila menghadiri aktiviti di Pusat Kegiatan Masyarakat Kuala Pilah yang terletak bersebelahan Dewan tersebut. Mengapakah beliau sengaja tidak berusaha untuk mendapatkan peruntukan sedangkan kerosakan sudah berlaku lebih 4 tahun dahulu dan saya difahamkan bahawa beliau “sangat arif” tentang apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Dewan tersebut.

Sungguh ironi sekali jika kita melihat situasi di mana kerajaan Barisan Nasional begitu bersungguh-sungguh untuk membangunkan sebuah universiti di negeri yang diperintah oleh parti pembangkang demi untuk menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang adil dan tidak mengira ideologi politik, sedangkan di Kuala Pilah, satu kawasan yang tidak pernah dipegang oleh parti pembangkang sejak kemerdekaan, begitu sukar untuk mendapatkan peruntukan untuk membaiki dewan yang rosak. Haruskah Kuala Pilah dipegang oleh pihak pembangkang untuk mendapat perhatian sewajarnya dari kerajaan Barisan Nasional? Dimanakah ketulusan kata-kata “kerajaan untuk rakyat” dan adakah “wakil rakyat berkhidmat untuk rakyat” itu cuma satu retorik sahaja?

Saya berharap bakal YB DUN Pilah yang terlantik nanti meninjau keadaan ini dan mengambil tindakan segera. Kerosakan Dewan ini mengakibatkan banyak aktiviti yang memberi manafaat kepada penduduk kampung tidak dapat dilakukan. Malah Mesyuarat UMNO Cawangan Kg Jawa yang diadakan pada 10 Jun 2007 , terpaksa diadakan di Madrasah Tunku Mukhriz Kg Jawa. Adakah itu wajar?

Jika kita lihat pada hari ini, Bilik Gerakan Peti Undi Kg Jawa terletak kurang daripada 100m dari Dewan tersebut. Andainya calon DUN Pilah datang melawat Bilik Gerakan tersebut sudah pasti akan terlihat keadaan dewan tersebut seperti yang saya telah saya paparkan. Apakah tindakan anda setelah terlantik nanti?

ADUN Digugurkan - Tindakan TEPAT

Tindakan Pengerusi BN Negeri menggugurkan kedua-dua bekas ADUN iaitu Norhayati (DUN Pilah) dan Ibrahim (DUN Seri Menanti) adalah sangat tepat dan merupakan satu amaran awal yang menyatakan ”Jika anda tidak melaksanakan tugas dengan cemerlang – out you go”.

Usia atau muka lama (veteran) bukan lah faktor penting tetapi kredibiliti, prestasi (performance) dan relevance adalah kayu pengukor yang akan menentukan kedudukan wakil rakyat masa kini.

Selama 2 penggal Norhayati menduduki kerusi DUN Pilah, tiada perkara ”significant” yang telah dianjurkan oleh beliau apatah lagi membangunkan sosio-ekonomi masyarakat DUN Pilah. Malah, pada penggal yang terakhir, beliau telah di lantik menjadi Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat, namun masih tiada yang significant yang telah beliau laksanakan di DUN Pilah.

Apa yang membingungkan, isu-isu mudah seperti pembaik-pulihan Dewan Orang Ramai Kg Jawa (bukan sekadar balairaya besar) pun tidak dapat beliau selesaikan.dalam tempoh 4 tahun setelah beliau dilantik semula menjadi ADUN Pilah. Setiap kali isu ini diutarakan, jawapan yang diberikan oleh pejabat beliau adalah ”Tiada peruntukan”. Setelah sudah lebih empat tahun dewan tersebut rosak, iaitu sebelum pilihanraya 2004 lagi, adakah hanya itu sahaja tindakan yang beliau mampu berikan? Jelas sekali beliau tidak menjalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat - membela nasib rakyat dan membawa pembangunan kepada rakyat.

Kampung ayah saya terletak kira-kira 1 km dari Seri Menanti. Pada waktu kecil dahulu, saya bersama saudara-mara sering berjalan kaki ke Seri Menanti untuk menyaksikan karnival sambutan Keputeraan DYMM Yang Di Pertuan Besar. Seri Menanti adalah Pekan Di Raja dan ia begitu dekat di hati saya. Seringkali kita lihat, bila sahaja Tourism Malaysia ataupun Kementerian Pelancongan Malaysia membuat promosi pelancongan, sama ada di dalam atau luar negara, mercu tanda Seri Menanti menjadi icon pelancongan negara. Setaip kali sahabat-sahabat dari luar Negeri Sembilan datang mengunjungi Kuala Pilah akan saya bawa bersiar ke Seri Menanti dan melihat mercu tanda ini. Mereka sangat kagum akan keindahan dan keunikannya yang begitu ”majestic”, dan majoriti tidak mengetahui bahawa ia terletak dalam Daerah Kuala Pilah. Apa yang saya maksudkan ialah Istana Lama Seri Menanti yang kini telah dijadikan Muzium DiRaja dan dibuka kepada orang ramai.

Apa yang hendak saya utarakan ialah, Seri Menanti mempunyai ciri-ciri tarikan pelancongan yang WORLD CLASS. Tetapi malangnya tiada usaha yang dilakukan untuk memertabatkan kewujudannya. Bukan sahaja Istana Lama tersebut, malah sejarah penempatan Seri Menanti sebagai pusat pemerintahan beraja dan juga Adat Perpatih itu sendiri, jika dimajukan adalah satu keunikan yang tiada tolok bandingnya di negara ini. Di sinilah wakil rakyat memainkan peranan yang sangat penting. Wakil rakyat harus melihat potensi ini dan membuat perancangan untuk memajukannya. Malangnya ini tidak berlaku. Program homestay di Seri Menanti telah lama mati (seolah-olah tidak pernah wujud), sedangkan ia merupakan satu daripada ”tools” untuk memajukan Seri Menanti sebagai destinasi pelancongan utama di Negeri Sembilan. Nampaknya pusat kebudayaan di Terachi juga mengalami nasib yang serupa.

Persoalannya, apakah yang telah dilakukan oleh wakil rakyat Seri Menanti? Adakah beliau terlalu sibuk sehinggakan tidak melihat semua ini? Atau beliau tidak berupaya melihat potensi Seri Menanti serta tidak berupaya membuat perancangan untuk kawasan Seri Menanti? Jika beginilah rupanya wakil rakyat yang dipilih, beliau seharusnya telah digugurkan empat tahun yang lalu. Masyarakat perlukan wakil rakyat yang berwawasan dan berupaya membuat perancangan serta membawa pembangunan sosio-ekonomi.

Wakil rakyat adalah penggerak masyarakat!

Kepada wakil rakyat Seri Menanti yang baru – marilah kita berbincang. Terlalu banyak yang boleh anda lakukan di kawasan DUN Seri Menanti yang akan memberi manfaat kepada SEMUA pihak.

Monday, February 25, 2008

Kisah Di Sebalik Pemilihan Calon PRU12 di Kuala Pilah

Semasa menunggu pengisytiharan nama calon-calon yang akan bertanding pada PRU12 ini, saya sempat bertemu kawan-kawan dan saudara-mara yang hadir untuk memberikan sokongan kepada calon-calon walaupun mereka terpaksa berada di bawah terik mentari. Calon-calon BN yang bertanding harus sentiasa ingat akan penat-jerih penyokong-penyokong ini, tak kira bangsa, sama ada telah diberi imbuhan ataupun tidak, begitu tekun dan bersemangat memberikan sokongan. Tanpa mereka, calon-calon yang bertanding tidak akan termampu meraih kemenangan besar yang sangat diharapkan nanti. Ingat tu bakal-bakal YB semua!

Sambil berbual, sempat juga saya mendengar cerita-cerita sensasi tentang pemilihan calon-calon BN yang akan bertanding.dalam kawasan Kuala Pilah, sama ada di peringkat Parlimen ataupun DUN. Malah yang lebih sensasi adalah tentang mereka yang tidak terpilih.

Kabarnya, ada seorang “YB-wannabe” begitu kecewa apabila Pengerusi BN Negeri tidak menyenaraikan beliau sebagai calon yang akan bertanding. Kekecewaan beliau dikatakan begitu ketara sejak dari pengumuman itu. Beliau terus berduka dan bermasam muka selama beberapa hari. Kenapa harus jadi begitu? Adakah beliau menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk dicalonkan? Mungkinkah kerana sudah dua kali pilihanraya diadakan dan nama beliau telah diusulkan pada kedua-duanya namun masih tidak terpilih? Adakah ini telah menjatuhkan airmukanya sehinggakan hatinya terguris? Atau yang lebih penting, mungkinkah juga kerana beliau menyedari bahawa pada pemilihan UMNO yang akan datang beliau sudah pasti tidak akan dapat lagi memegang jawatan penting dalam parti seperti yang dipegangnya sekarang, maka akan tamatlah riwayat beliau dalam dunia politik?

Memegang jawatan tinggi dalam parti bukanlah tiket untuk mendapatkan pencalonan dalam pilihanraya. Beliau harus sedar bahawa kredibiliti dan “substance” adalah elemen-elemen penting yang, jika diamati, mungkin tiada langsung dalam diri beliau. Adakah beliau begitu angkuh dan enggan menerima hakikat ini? Ramai orang yang memegang jawatan dalam UMNO tidak mempunyai “substance” mahupun kredibiliti kerana orang yang menang dalam pemilihan UMNO tidak ubah seperti anak-anak muda yang menang dalam program realiti tv yang berlandaskan undian SMS. Ada yang benar-benar layak dan ramai juga yang tidak.

Pada awal zaman pasca kemerdekaan, adalah lumrah bagi orang yang memegang jawatan penting dalam parti untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Tetapi keadaan sekarang sudah berbeza. Calon-calon yang akan menduduki kerusi DUN ataupun Parlimen akan menghadapi cabaran yang amat hebat. Oleh itu, pemilihan calon haruslah berdasarkan merit. Empat dekad yang lalu, cabaran tidak sehebat kini dan pembangunan sosio-ekonomi tidak begitu “complicated” dan ini memungkinkan pemilihan calon dari golongan yang hanya tamat darjah enam. Sekiranya kriteria yang sama digunakan, sudah pasti calon yang terpilih tidak dapat menjalankan tugas dengan cemerlang ataupun hanya menjadi YB yang banyak cakap tetapi hasil tiada.

Secara mudahnya, mari kita lihat pertandingan ratu cantik, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Tiga atau empat dekad yang lalu, wanita yang memasuki pertandingan ratu cantik sering digelar bimbo atau beauty-without-brain. Memang ada kebenarannya. Tetapi keadaan sudah berubah. Untuk menang dalam pertandingan ratu cantik, Miss World ataupun Miss Universe pada masa ini peserta bukan sahaja harus mempunyai rupa-paras serta potongan badan yang cantik, malah harus mempunyai daya pemikiran yang begitu bernas, berwawasan dan berupaya membuktikannya, serta ada ”track-record”. Ini adalah kerana tugas yang menanti pemenang begitu mencabar. Bukan sekadar untuk melakukan ”appearance” (tunjuk muka) di majlis-majlis rasmi, malah terlibat dalam tugasan-tugasan berbentuk sosio-ekonomi. Maka tidak hairanlah mengapa sebahagain besar daripada peserta pertandingan ratu cantik antarabangsa pada masa ini adalah terdiri daripada golongan terpelajar. Hebat! Nak menang dalam pertandingan ratu cantik pun kena jadi orang terpelajar. Inikan pula nak jadi Ahli Dewan Undangan Negeri ataupun Ahli Parlimen, yang bakal menubuhkan kerajaan.

Justeru itu, ahli-ahli UMNO yang berhasrat untuk dipilih untuk menjadi calon dalam pilihanraya akan datang haruslah melihat dan mengguna-pakai analogi yang sangat mudah ini. Buatlah kajian mendalam tentang diri anda. Adakah anda mempunyai ”substance”? Adakah anda mempunyai ”track-record” cemerlang dalam kerjaya/perniagaan anda? Adakah anda mempunyai keperibadian (diri dan keluarga) yang akan dihormati oleh penyokong dan pengundi anda? Dan, adakah anda orang yang lebih layak berbanding dengan orang lain? Bak kato orang Kolo Pilah, suloh muko kek coromin tu dulu.

Terimalah hakikat ini dan tak usahlah berperangai kebudak-budakan. Grow-up! Anda menjadi ahli UMNO adalah untuk memperjuangkan nasib bangsa and negara. Bukannya sekadar hendak main masak-masak.

Kepada yang tak terpilih, hayatilah frasa ini - “Not everyone can be a leader; some are meant to be just followers”.

Siapa Yang Harus Dikritik?

Mungkin ada pembaca blog ini yang ingin tahu mengapakah saya begitu tekun dan bersemangat mengkritik orang-orang Barisan Nasional, sama ada yang bakal bertanding dalam PRU12, mahupun yang telah dilepaskan.

Jawapannya mudah sahaja. Apa guna mengkritik pihak pembangkang? Kehadiran Parti Keadilan dalam senario politik negara sudah tidak relevant lagi. Manakala keadaan PAS pada masa ini pula boleh diibaratkan sebagai orang yang mabuk laut, terumbang ambing di lautan yang sedikit pun tidak bergelora (jika anda faham maksud saya). Jadi, apa perlunya saya mengkritik mereka jika semua orang boleh melihat sendiri tanpa perlu membuka mata. Seandainya PAS mahu orang lain membuka mata, mereka seharusnya melakukan sesuatu, tidak semestinya perkara yang hebat, tetapi sesuatu yang boleh meningkatkan semula kredibiliti mereka sebagai parti untuk ummah Islam. Jangan jadi macam Keadilan yang hanya mengharap undi simpati. Pas lebih ”credible” daripada itu.

Kita semua tahu Barisan Nasional (ataupun UMNO) akan berkuasa lagi dalam Daerah Kuala Pilah (begitu juga dalam negara ini) walaupun mereka harus bertanding dalam PRU12 ini. Apa yang ingin kita lihat adalah, berapakah majoriti kemenangan yang akan diperolehi oleh calon-calon BN. Kita juga ingin melihat tindakan-tindakan yang akan dilaksanakan oleh calon-calon BN bagi memastikan kemenangan mereka. Adakah mereka sekadar hangat-hangat tahi ayam? Hanya hebat semasa berkempen tetapi bila sudah peroleh kemengan, terus lenyap. Kita sudah masak dengan jawapan ”I will look into that matter”, mahupun “Tak ada peruntukan lah”.

Kredibiliti calon-calon yang dipilih oleh BN adalah sangat penting, bukan sekadar untuk memenangi hati rakyat semasa berkempen, malah lebih penting lagi adalah keupayaan untuk memberikan khidmat yang cemerlang kepada masyarakat dan negara.

Oleh yang demikian, kritikan yang diberikan bukan semata-mata untuh menjatuhkan maruah seseorang tetapi untuk menyedarkan, bukan sahaja yang bertanding, termasuk juga mereka yang bercita-cita untuk menjadi calon pada masa hadapan, bahawa begitu ramai yang memerhatikan mereka.

Menduduki kerusi DUN ataupun Parlimen adalah satu penghormatan yang diberikan oleh rakyat. Penghormatan ini bukan satu ”award” tetapi satu ”mandate” dan amanah rakyat. Oleh itu rakyat berhak berkata-kata sekiranya amanah yang diberikan telah diabaikan. Sebagai orang biasa (lay man), secara logiknya kita tidak akan menyerahkan amanah kepada se-seorang yang kita tahu adalah penipu, pembohong ataupun tidak jujur. Kita hanya akan memberikan amanah kepada orang yang kita fikirkan berupaya (credible) untuk melaksanakan amanah tersebut. Jadi, hak mengkritik kredibiliti calon adalah satu elemen yang seharusnya menjadi norma yang tidak patut dipandang serong.

Apapun, mengkritik harus ada batasan. Yang dikritik adalah kredibiliti dan prestasi, bukannya personaliti dan peribadi. Kesopanan tidak harus hilang walau seteruk mana kritikan yang dilemparkan. Kita orang Melayu; maki hamun bukan budaya kita.

Sunday, February 24, 2008

Kisah Silam - Tan Sri Aishah Ghani

Semasa Tan Sri Aishah memberi taklimat kepada pergerakan wanita UMNO Kuala Pilah. Ibu bersama barisan pergerakan wanita sentiasa tekun.

Kisah Silam - Lawatan Tun Razak

Ibu bersama pergerakan wanita menyambut ketibaan Allahyarham Tun Razak ke Bangunan UMNO Kuala Pilah. Ibu jauh lebih muda berbanding dengan alhi-ahli jawatankuasa pergerakan wanita yang lain

Kisah Silam

Saya sudah lama mengenali politik. Tetapi saya tidak menyedarinya sehinggalah pada suatu hari sewaktu saya balik dari sekolah pada awal dekad tahun 70an. Pada masa itu saya bersekolah rendah dan kami sekeluarga menetap di perumahan rumah rakyat pertama di Kuala Pilah. Pada masa itu ia lebih dikenali sebagai rumah murah. Di antara jiran-jiran kami pada masa itu adalah Tan Sri Nasimuddin (Pengerusi Kumpulan NAZA) bersama keluarga beliau (this is name-dropping). Saya hanya berjalan kaki pergi dan balik dari sekolah, bersama-sama rakan sebaya. Semasa menghampiri rumah kami, saya terlihat sebuah kereta Mercedes Benz terletak betul-betul di hadapan pintu pagar rumah kami. Pada masa itu tidak ramai orang yang saya kenali memiliki kereta, apatah lagi sebuah Mercedes Benz. Saya terlihat seorang lelaki yang tidak saya kenali mundar-mandir berdekatan kereta itu. Apabila saya menghampiri pintu pagar rumah, lelaki itu memandang ke arad saya dengan senyuman. Saya tidak sabar hendak memberitahu emak tentang kehadiran lelaki itu dan juga kereta Mercede Benz yang terletak di hadapan pintu pagar. Apabila saya berlari masuk sambil memanggil ibu, saya terlihat seorang wanita sedang berbual dengan ibu saya, dan beliau menoleh ke arah saya dan tersenyum. Saya amat terkejut, walaupun saya telah mengenali beliau kerana ibu saya sering bersama beliau dalam aktiviti-aktivi kaum wanita, tetapi itu adalah kali pertama beliau hadir di rumah kami. Wanita itu adalah Datin Halimah (this is not name-dropping), isteri kepada Menteri Besar Negari Sembilan pada masa itu, iaitu Dato’ Mansor.

Apa yang saya ketahui kemudian, Datin Halimah telah datang ke rumah kami dengan tergesa-gesa kerana hendak memujuk ibu saya agar tidak meletakkan jawatan sebagai setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah. Ibu saya sudah tekad dan tidak tahan lagi dengan kerenah orang politik di Kuala Pilah. Kehadiran Datin sudah terlambat dan beliau gagal memujuk ibu supaya menarik balik semula hasratnya. Pada saat itulah saya mengenali politik, walaupun ianya telah berakhir bagi ibu saya. Sejak dari itu, walaupun ibu tidak lagi bergiat aktif dalam politik, beliau tetap menyokong kuat pergerakan UMNO dan tidak pernah gagal menghadiri mesyuarat sehinggalah beliau menjadi uzor. Dato’ Mansor pun sudah tiada lagi tetapi saya tidak pasti tentang Datin Halimah.
Saya sentiasa terkenang peristiwa itu kerana dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku. Sejak muda lagi, sebelum berkahwin dengan ayah saya, ibu telah bergiat cergas dalam pelbagai aktiviti termasuk UMNO. Pada usia saya yang masih kecil, acapkali saya ditinggalkan bersama nenek kerana beliau terlalu aktif berpersatuan. Namun, kesabaran beliau ada hadnya. Bagi beliau, bergiat aktif dalam UMNO adalah kerana beliau anak Melayu yang patriotik dan tidak mengharapkan apa-apa pulangan. Namun, bila integriti tercabar, pengundurannya adalah pilihan terbaik, ”there are some wars not worth fighting for”

Muqaddimah

Sebelum saya mula “bercerita”, biarlah saya bercerita tentang blog ini terlebih dahulu. Blog ini, “Breakfast at Juasseh”, adalah cetusan idea seorang sahabat lama (seorang anak bekas ahli dewan undangan negeri di Kelantan), yang saya kenali semasa di universiti dahulu kala.. Saya memanggilnya Bob (dia lebih dikenali dengan nama Bu di kalangan rakan-rakan yang lain). Beliau adalah ”punching-bag” saya dalam membincangkan isu politik tanah-air. Walaupun kami bukan hard-core political buff, kami amat prihatin tentang politik tanah-air kerana negara Malaysia ini adalah tanah tumpah darah kami; baik-buruknya ia tetap negara kami; jatuh-bangunnya kita semua yang menentukannya. Oleh itu kita harus rasa bertanggung-jawab untuk menentukannya. Bagi kami, rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar untuk mengundi atau sudah mendaftar tapi sengaja enggan pergi mengundi adalah rakyat yang angkuh/bongkak dan tidak bertanggung-jawab. Apa jua ideologi politik kita, tidak kira siapa yang kita sokong, sikap ingin mengundi adalah ciri-ciri rakyat bertanggung-jawab dan ”good citizen”.

Berbalik semula kepada blog ini. Blog ini adalah coretan tentang apa yang saya nampak dan dengar di sepanjang pemerhatian ”serious” saya terhadap situasi di Kuala Pilah, terutama sekali tentang isu politik. Pada mulanya, seperti yang dijangkakan oleh Bob, saya hendak menulis dalam bahasa inggeris, tetapi saya menyedari bahawa sasaran saya adalah rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, terutama sekali masyarakat di Negeri Sembilan. Saya mahu semua lapisan masyarakat faham tentang apa yang saya coretkan dan tidak memandang blog ini sekadar ”good literature”. Di dalam blog ini, saya juga akan menggunakan loghat/dialek dan bahasa tempatan kerana penggunaannya akan membawa bersama gambaran tentang minda, perasaan dan kebudayaan masyarakat di Kuala Pilah.

Hari ini 24 hb Februari 2008 adalah hari penamaan calon untuk pilihanraya umum ke 12. Saya telah sempat pergi ke tempat penamaan calon di Pejabat Daerah Kuala Pilah untuk mengetahui sendiri calon-calon yang bakal bertanding dalam pilihanraya pada 8hb Mac 2008 nanti. Walaupun Pengerusi BN Negeri telah mengumumkan nama-nama calon, apa sahaja boleh berlaku semasa penamaan calon. Selagi pendaftaran calon tidak selesai, selagi itu lah kita tidak akan betul-betul pasti siapa yang akan bertanding.

Di Daerah Kuala Pilah, ada satu kerusi Parlimen dan 5 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menjadi rebutan - Juasseh, Pilah, Senaling, Seri Menanti dan Johol. Nampaknya BN Negeri masih mengekalkan muka lama untuk kerusi parlimen. Walaupun baru sepenggal dalam parlimen (sebelum itu memegang kerusi DUN), bagi saya calon yang dikemukan oleh BN Negeri bukanlah calon terbaik untuk mewakili kawasan parlimen Kuala Pilah. Saya pasti dalam UMNO Bahagian Kuala Pilah ada ahli-ahli lain, walaupun tidak memegang jawatan penting dalam UMNO Bahagian, atau mana-mana peringkat, adalah lebih ”credible” daripada orang yang dicalonkan.

Bagi kerusi DUN pula, terdapat 2 muka baru yang dicalonkan. Syukor ...alhamdulillah Pengerusi BN Negeri menyedari betapa pentingnya TIDAK mengekalkan sebahagian daripada muka-muka lama. Seperti barang-barang makanan di pasaran yang ada tarikh luputnya, ada sesetengah muka lama yang masih berkhidmat pada penggal lalu sudah terlalu lama menjangkau tarikh luput (way beyond expiry date) walaupun dari segi usia masih tidak terlalu tua. Usia bukan kriteria utama tapi ”relevancy” terhadap khidmat yang akan diberikan tidak harus diperlekehkan.

Apapun syabas kepada muka-muka baru. Diharap mereka ini akan dapat memberikan khidmat yang cemerlang.

Kepada muka-muka lama, bila tengok diri anda sendiri di cermin di dalam bilik tidor mewah anda, renunglah lama-lama dan tanya diri anda ”sudahkah saya melaksanakan amanah rakyat dengan cemerlang?”. Jika belum, berubahlah. Anda diberi peluang sekali lagi untuk meningkatkan prestasi anda dan membuktikan kepada BN dan rakyat bahawa anda memeng layak untuk menduduki kerusi tersebut.
Kepada yang telah memberikan khidmat yang cemerlang (walaupun ado yang sibok mengatokan bahawa anda ”tak buek apo-apo”), tahniah! Bravo! Kudos to you. Tak osah di-apek-apek-an cakap-cakap orang yang hanya tahu bercakap tapi pada hakikatnya diri mereka itu sendiri yang kosong. Saya lihat memang ramai orang yang begini di Kuala Pilah. Sesetengahnya pula memegang jawatan di dalam UMNO. Borhonti lah buek kojo-kojo tak elok ni. Orang-orang yang buek kojo dengan elok, kito patut bori sokongan padu. Orang yang tau cakap yo dan tak buek kojo, kito togo, dengan harapan dio akan berubah.